Saya ucap syabas kepada Agenda Daily kerana berjaya menganjurkan debat hari ini, juga sekalung penghargaan buat saudara Datuk Johan Jaafar selaku moderator serta Datuk Ahmad Shabery Cheek. Tidak lupa juga ucapan tahniah buat pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana kesediaan menyediakan ruang untuk perdebatan tadi.

Saya terkejut tatkala tiba di bangunan DBP kerana terdapat polis dan pasukan pencegah rusuhan. Saya sedikit hiba melihat mereka terpaksa bertugas sehingga lewat malam demi menutup pembohongan yang dicipta oleh para penguasa yang rakus dan tamak.
Debat tetap berlangsung pada ketika saya mungkin ditahan oleh pihak polis bila-bila masa sahaja. Sudah tentu saya merasakan tekanan yang berat akan tetapi ini adalah peluang terbaik bagi saya untuk menyampaikan mesej kepada rakyat Malaysia bahawa adalah tidak mustahil untuk menurunkan harga minyak!

Mekanisme yang kita tawarkan ternyata bukanlah satu yang mustahil sebenarnya:
1. Untuk menurunkan harga petrol sebanyak 50 sen kita hanya memerlukan tambahan RM5 bilion sahaja keatas subsidi yang telahpun diperuntukkan oleh kerajaan bagi tahun ini.

2. Kita mempunyai maklumat bahawa Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempunyai “excess capacity” yang melebihi 1000 MW. Ini adalah bekalan simpanan yang tidak digunakan. Ia boleh kita turunkan dan akan menjimatkan kos kepada TNB dan juga mengurangkan penggunaan bahan bakar untuk menjana elektrik. Penjimatan kos TNB ini memungkinkan kita menyemak kembali tarif elektrik. Pengurangan penggunaan bahan bakar pula membolehkan kita menyalurkan subsidi bahan bakar yang diperuntukkan untuk syarikat penjana kuasa bebas (IPP) bagi menjana tenaga elektrik kepada subsidi minyak untuk rakyat jelata.

3. Pembanterasan korupsi dan rasuah juga memastikan tiada lagi ketirisan berlaku. (Morgan Stanley menunjukkan RM330 bilion (USD90 bilion) telah lesap kerana amalan rasuah yang berleluasa.

Pendirian Pakatan Rakyat adalah jelas iaitu sebuah kerajaan yang bertanggungjawab adalah sebuah kerajaan yang cuba sedaya upaya untuk meringankan beban rakyat seluruhnya. Negara kita berhadapan dengan kadar inflasi yang tinggi akibat kenaikan harga minyak secara mendadak. Ini menyebabkan pertumbuhan ekonomi merencat sekaligus menyusahkan rakyat kerana harga barang seperti gula, tepung, minyak masak dan beras naik.

Oleh itu kita berpendapat sangat penting untuk menurunkan harga minyak agar tidak membebankan rakyat terbanyak. Pendirian kita jelas iaitu korupsi harus diperangi, ketelusan harus menjadi amalan dan ketirisan wajib segera dibaiki!

ANWAR IBRAHIM

KOTA BHARU, 9 Julai (Hrkh) - Kerajaan diminta mengkaji semula cadangan menaikkan lagi harga minyak sekiranya tidak ingin kehilangan lebih banyak pelabur. -->
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Masyarakat, Datuk Husam Musa berkata, kenaikan lagi harga minyak akan menyebabkan lebih banyak kilang menutup operasi kerana bebanan kenaikan bahan bakar dan tarif elektrik tidak tertanggung lagi.
Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat Exco hari ini berkata, penutupan kilang Nikko di Pulau Pinang disebabkan kenaikan harga minyak kerana kos operasinya meningkat begitu tinggi.
- Lebih banyak kilang termasuk milik pelabur luar negara akan berbuat demikian kerana hilang kepercayaan terhadap kerajaan Malaysia, terutamanya dalam keadaan sekarang.
- Pelabur akan mencari negara lain seperti Vietnam dan China yang tidak membebankan pelabur. Bila perkara itu berlaku ia akan menyebabkan malapetaka ekonomi lebih dahsyat bakal melanda negara kita.
- Kalau banyak kilang ditutup, orang ramai akan kehilangan kerja sehingga boleh menimbulkan keadaan huru-hara dalam negara," ujarnya yang juga Naib Presiden PAS.
Oleh itu beliau meminta, kerajaan mengkaji semula cadangan tersebut bagi mengelakkan negara menjadi lebih kritikal.
Beliau juga berkata, mesej yang disampaikan rakyat melaui himpunan Protes Sejuta Rakyat - Protes Sampai Turun anjuran Pakatan Rakyat baru-baru ini sebenarnya sudah sampai kepada kerajaan.
Kata beliau memprotes kenaikan harga minyak menjadi hak semua rakyat dan kerajaan seharusnya berfikir kesanggupan semua lapian masyarakat turun ke padang membantah.
"Saya bukan pro band rock tu, tetapi kalau kita baca balik lirik lagu yang dinyanyikan oleh golongan itu ia mempunyai mesej yang tertentu kepada kerajaan.
"Cuma yang silapnya dia buka seluar, sebelum ni pun kat konsert lain memang dia dah buat macam tu, tapi pada pendapat saya perkara itu boleh diperbetulkan.
Apa yang penting mesej rakyat tanpa mengira kedudukan mereka telah sampai kepada kerajaan," ujarnya.
Katanya, lirik lagu berkenaan terkena atas batang hidup kerajaan sendiri.
"Jadi kerajaan kena fahamlah, kalau budak-budak macam tu pun boleh sindir kerajaan, faham sendirilah," ujarnya.
Mesej Protes boleh dilakukan berbagai cara tetapi tidak bertindak kasar. Menurutnya kerajaan harus menangani segera perkara tersebut dengan menurunkan semula harga minyak dan tarif elektrik.
Beliau juga berkata, Kijang Care akan berusaha menjejaki dua keluarga yang kesempitan hidup selepas kilang Nikko ditutup operasinya baru-baru ini.
"InsyaAllah kita akan cuba memberi sedikit bantuan pada keluarga terbabit bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung mereka, ujarnya." - mj _

TAIPING, 9 Julai (Hrkh) - "Hari ini saya nak ulang lagi, kalau kita dapat ambil alih. Menang Kerajaan Persekutuan hari ini, percayalah pada saya, saya tak cakap bohong. Menang hari ini kita ambil alih, esok harga minyak turun." -->
Demikian Ketua Umum Parti KeADILan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim mengulanginya sekali lagi semasa berceramah di Changkat Jering dekat sini malam tadi sambil menegaskan bahawa kalau Pakatan Rakyat mengambil alih memerintah seluruh Malaysia maka harga minyak akan turun serta- merta esoknya.
"Pedulikan cakap-cakap 'depa' yang iri hati jika Pakatan Rakyat dapat perintah semua negeri yang mereka rasa tak yakin saya boleh turunkan harga minyak itu. Cuba tengok, cuba tengoklah nanti. Kalau tak percaya cubalah jangan halang kami ambil alih perintah semua negeri di Malaysia. Hari ini jadi kerajaan baru, esok diturunkan harga minyak dan bahan bakar lainnya,"cabarnya di hadapan kira-kira 20,000 orang penyokong parti.
Beliau yang menegaskannya dalam program "Tour Anwar Ibrahim Seluruh Malaysia" menyatakan, kalau tidak percaya maka tunggulah pada 15 Julai ini di televisyen dan beliau akan kupas dengan panjang lebar dan terperinci bagaimana cara untuk turunkan harga minyak dan bahan bakar lainnya.
"Saya memang minta kepada Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato' Seri Najib Razak berdebat di TV pada hari itu nanti supaya semua rakyat negara ini boleh lihat berhujah dengan mereka berdua dengan tajuk 'Bagaimana Hendak Turunkan Harga Minyak',"katanya malam tadi.
Tambahnya,"di TV siaran langsung itu nanti saya katakan formula untuk turunkan harga minyak, kerana saya tahu dan yakin buat yang benar.
"Saya tidak akan rosakkan ekonomi Malaysia. Saya tahu, insya-Allah, kita ambil pelabur China, pelabur Arab, pelabur Eropah dan serampang tiga mata untuk bangkitkan semula ekonomi Malaysia."
Tapi sayang, katanya beliau yakin Perdana Menteri dan Timbalannya takut bersemuka dalam siaran tersebut dan dinyatakan tempat mereka akan diambil alih oleh Menteri Penerangan sebagai wakil kerajaan.
"Tak apalah, tak dapat tanduk akar pun boleh, saya tak pilih,"sindir Anwar dikuti tepukan gemuruh hadirin. - mks. _

Internet: Pengkhianat atau penyelamat?

HERDIKAN Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi terhadap media yang berasaskan Teknologi Maklumat dan Komunikasi(ICT) seperti blog, laman perkongsian fail YouTube dan sistem pesanan ringkas (SMS) wajib dipandang berat. -->
Jelas daripada kenyataan yang dimukahadapankan oleh hampir semua akhbar arus perdana hari ini bahawa Perdana Menteri telah membuat "kerja rumah" atau telah dinasihati oleh pihak-pihak tertentu yang tahu mengenai peranan ICT dalam pembentukan pendapat umum.
Bahasa yang digunakannya boleh dianggap keras dan mengancam. Beliau menggunakan istilah seperti pengkhianatan, perbuatan khianat, pembohongan, "treason" dan "treachery."
Beliau menuduh pengguna saluran siber ini sebagai tidak menunjuk hormat kepada prinsip-prinsip Rukun Negara.
Katanya segala fitnah dan pembohongan yang disebarkan melalui blogs dan YouTube tidak menyumbang ke arah mewujudkan perasan lega dan keyakinan di kalangan rakyat jelata.
Eloklah kalau Perdana Menteri sendiri kini mengakui secara terbuka di hadapan kakitangan awam mengenai kesan dan implikasi media yang berlandaskan ICT ini terhadap pendapat umum.
Walaupun mungkin ada pihak yang akan melihat kenyataan Abdullah itu sebagai ancaman atau permulaan kepada satu tindakan yang lebih keras, saya melihatnya sebagai sesuatu yang positif.
Kalau pendukung pemerintahan dan jentera mereka mahu mengambil iktibar daripada artikulasi Perdana Menteri itu, mereka akan segera mendalami, memahami dan menangani isu ini.
Pertama, bukan semua blog dan kandungan YouTube berunsur politik. Malah di negara kita, lebih banyak blog berupa blog peribadi yang tidak menyentuh politik.
Kedua, bukan semua blog politik dan kandungan politik YouTube dikendalikan oleh orang politik atau wartawan yang mahir dalam hal ehwal politik.
Dan ketiga, bukan semua blog anti-pemerintah atau dikendalikan oleh pembangkang. Banyak juga blog dimiliki atau dikendalikan oleh ahli politik pemerintah dan penyokong kuatnya.
Mungkin ada blog atau pemblog yang antikerajaan, yang membuat fitnah dan melanggar prinsip-prinsip Rukun Negara. Kalau ini terbukti, tindakan sivil dan jenayah boleh diambil ke atas mereka.
Tetapi pasti ada juga blog yang dikendalikan secara profesional dan rasional walaupun kritikal terhadap pemerintah dan parti pemerintah.
Sedikit sebanyak mereka telah menyumbang ke arah memberi kesedaran dan membantu pemerintah memperbetulkan beberapa kesilapan.
Misalnya, dalam isu penjualan Pantai Holdings Berhad kepada syarikat Singapura, Parkway Holdings Limited. Pada mulanya Perdana Menteri sendiri menafikan di dalam akhbar bahawa ada syarikat tempatan yang jatuh ke tangan asing.
Tetapi, beberapa minggu kemudian beliau mengaku bahawa Pantai Holdings telah jatuh ke tangan asing dan Khazanah Nasional Berhad terpaksa dikerah untuk membeli balik kawalan syarikat itu dengan belanja yang besar.
Begitu juga dalam isu-isu sensasi yang lain seperti pemberian kontrak Petronas di dalam dan luar negara kepada Scomi Berhad dan pembelian aset awam Avenue Capital oleh ECM Libra.
Kalau pemblog boleh disifatkan sebagai tidak menghormati prinsip-prinsip Rukun Negara, pemerintah pun boleh disifatkan demikian di dalam beberapa tindak-tanduknya.
Misalnya, ketika krisis pelantikan Menteri Besar Perlis dan Terengganu selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu di mana peranan Istana telah dipertikaikan.
Lagipun, adalah terlalu mudah (simplistic, convenient) menyalahkan portal berita bebas, blog dan YouTube tanpa mengkaji dan memahami mengapa rakyat jelata memilih dan mempercayai mereka.
Salah satu sebab adalah media massa arus perdana tidak menyiarkan berita dan maklumat yang dianggap tidak memihak kepada pemerintah.
Kalau disiarkan pun, berita dan maklumat itu kerap kali diolah semula agar memihak kepada pemerintah atau sekurang-kurangnya tidak memberi kesan negatif kepada pemerintah.
Sama ada benar atau hanya persepsi semata-mata, ramai orang hari ini melayari Internet untuk mendapatkan maklumat dan bertukar-tukar fikiran daripada mengikuti media massa arus perdana.
Oleh sebab media massa arus perdana begitu berkait rapat dengan pemerintahan, maka kredibilitinya dan kredibiliti pemerintah saling kait-mengait.
Sama ada kandungan media Internet penuh pembohongan, fitnah dan konspirasi seperti yang didakwa oleh Perdana Menteri, kebenaran mutakhir bergantung kepada proses undang-undang dan kehakiman yang sedang berjalan sekarang.
Kebenaran mutakhir akan muncul dan pihak-pihak yang tertuduh akan mendapat pengadilan yang saksama hanyalah jika proses penyiasatan, penuduhan, pembelaan dan penghakiman dibenarkan berlaku tanpa sebarang gangguan, campur tangan dan ancaman oleh sesiapa pun. - kadirjasin.blogspot_

Kelirukah anda?

Agaknya kerajaan sudah mengambil iktibar dari kekalahan lepas tentang sikap acuh tak acuh mereka terhadap internet. Sekarang penuh dalam internet penyokong-penyokong mereka menyebarkan dakyah ketuanya. Mungkin juga orang yang sama tetapi berlainan ID.

Tugas utama mereka ialah memecahbelahkan penyokong-penyokong pembangkang. Tengok sajalah komen-komen mereka semuanya mengelirukan. Kadang-kadang entah dari mana posting yang dicelup semata-mata untuk mengabui mata pembangkang. Bermacam-macam blog juga muncul untuk melawan bilangan blog pembangkang semata-mata untuk menunjukkan mereka jugak punya penyokong.

Tapi ternyata penyokong pembangkang sudah bijak menilai fakta yang mana tulen dan yang mana palsu. Mungkinkah usaha untuk mengelirukan rakyat Malaysia sudah gagal? Agaknya kekeliruan seumpama itu hanya untuk rakyat-rakyat mereka dia ceruk kampung atau felda sahaja. Seperti ucapan Najib dihadapan berpuluh warga Felda semalam yang mengulang-ngulang jasa-jasa kerajaan BN dalam memastikan rakyat dilimpahi kesenangan. Kelihatan pula penonton yang mendengar sudah dijamukan dengan makanan yang enak-enak. Semuanya sudah terdiam kekenyangan dah hanya menadah apa yang diucapkan oleh sang penceramahnya.
Itulah lumrah BN setiap kali berhimpun. Penuh gula-gula.

Debat Anwar-Shabery tidak kecoh

Debat isu minyak antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menteri penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek minggu depan tidak akan menimbulkan sebarang kekecohan, kata bekas pemimpin kanan PKR Mohamad Ezam Mohd Nor.Kekecohan akibat penonton hilang kawalan dalam perhimpunan menentang kenaikan harga minyak Ahad lalu anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) tidak harus menjadi halangan kerana insiden itu hanya kes terpencil, tambah Mohamad Ezam."Insiden itu adalah kes terpencil. Ia tidak semestinya menjadi masalah kepada perhimpunan aman yang lain. "Perhimpunan aman adalah hak asasi dan insiden itu tidak harus menjadi sebab menghalang program-program lain," katanya kepada Malaysiakini.Debat itu, menurutnya lagi, boleh memberi kebaikan kepada semua pihak."Debat itu akan membawa kebaikan kepada proses bersuara dan demokrasi. Ia akan memberi kebaikan kepada kedua-dua belah pihak. Dalam politik, perkara itu harus dialu-alukan," katanya.Beliau, yang sedang berada di luar negara, enggan mengulas lanjut selagi ia belum mengetahu format perdebatan tersebut.Di perhimpunan Protes yang sama, Anwar mengumumkan kesediaan berdebat dengan Ahmad Shabery pada 15 Julai ini di Dewan Bahasa dan Pustaka berhubung isu harga minyak.Bagaimanapun, katanya, lebih baik debat itu dengan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau timbalannya Datuk Seri Najib Razak. Anwar berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat barisan pemimpin atasan Pakatan Rakyat minggu lepas."Perkara tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat pimpinan Pakatan - PAS, DAP dan PKR di rumah saya minggu lalu. Saya telah meminta Saifuddin Nasution merundingkan prosedur debat," kata penasihat PKR dalam blognya.

bisik SemutApi

Jangan terbuai dengan cakap-cakap manis taburan gula... Entah kan madu entahkan hampas
Jangan terjerat dengan janji-janji dusta... Walaupun baru ataupun lepas



Recommended Money Makers

  • Chitika eMiniMalls
  • WidgetBucks
  • Text Link Ads
  • AuctionAds
  • Amazon Associates