Showing posts with label Malaysiakini. Show all posts
Showing posts with label Malaysiakini. Show all posts


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diminta menunjukkan keikhlasan dan kejujuran dalam menzahirkan gagasan 1Malaysia melalui pelaksaaan dasar kerajaan berdasarkan kelayakan dan bukannya warna kulit.

“Keikhlasan dan kejujuran dalam menzahirkan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan (hendaklah) berdasarkan qualification (kelayakan) dan bukan ‘kulitfication’ (warna kulit), amat penting bagi mengerakkan negara supaya lebih maju dan makmur,” kata ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe.
Berucap di persidangan perwakilan Wanita Gerakan ke-22 hari ini, Tan berkata, janji-janji supaya semua dasar dilaksana dengan adil tanpa membezakan latar belakang rakyat, tidak harus “sekadar di bibir” sahaja.

Katanya, rakyat yang meletakkan harapan penuh kepada Najib untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan sesuatu dasar sentiasa memantau dan menilai kerajaan secara berterusan.

“Tersilap langkah mengundang padah dan kehancuran dalam pilihan raya akan datang,” kata Tan.

Mengulas keperluan parti itu berubah bagi memenangi semula sokongan rakyat, Tan meminta semua pihak supaya mengelakkan sikap-sikap negatif, antaranya “ekstrim berasaskan perkauman dan ketuanan”.

Tan juga mengingatkan BN supaya tidak mendabik dada dan angkuh dengan kemenangan di Bagan Pinang pada 11 Oktober lalu kerana sudah tujuh pilihan raya kecil sebelum ini diungguli pembangkang.

“Di samping itu, kemenangan dalam pilihan raya kecil di Bagan Pinang wajar dijadikan rujukan dan memberikan keinsafan. Rakyat berkehendakan calon berjiwa rakyat.

“Di sebalik kemenangan ini, kita tidak perlu mendabik dada, merasa angkuh serta begitu yakin bahawa kemangan BN sebagai petanda rakyat kembali menyokong kita,” katanya.



Seorang kontraktor berpengalaman di Kampar berkata jambatan gantung yang runtuh dan mengorbankan tiga murid sekolah peserta kem 1Malaysia di situ malam Isnin lalu, mungkin dibina tanpa mengikut prosedur.

Pengarah urusan syarikat Jeram Bersatu Corporation, Mohd Kamal Rabaai berkata sekiranya prosedur itu dipatuhi, jambatan gantung di kawasan SK Kuala Dipang itu tidak mungkin runtuh dengan mudah.

"Kalau tengok pada jambatan yang runtuh itu, saya rasa ujian tanah pun tidak dibuat," kata beliau yang juga telah meninjau kesan jambatan yang runtuh itu.

Mohd Kamal yang berpengalaman membina jambatan berkata, beliau mendapati tapak asas yang memegang sangga kabel jambatan itu, dibuat terlalu tohor dan tidak menggunakan cerucuk.

"Saya nampak ada yang tidak betul. Tapak asas pemegang kabel itu tak cukup dalam. Sepatutnya kena ada cerucuk, kurang-kurang pun 30 kaki," katanya.

Kontraktor berusia 41 tahun itu juga berkata, beliau percaya jambatan gantung itu direka bentuk sedemikian untuk menjimatkan kos.

"Kalau jambatan gantung macam ini saya ingat tak sampai RM30,000. Kalau dia bina jambatan konkrit mungkin cecah hingga RM200,000," kata Mohd Kamal.

Mengikut prosedur, katanya, seseorang kontraktor pada awalnya perlu memperolehi dokumen "surat mula kerja" daripada Jabatan Pelajaran Negeri Perak (JPN).

"Ini kerana jambatan itu dibina dalam kawasan sekolah dan kawasan ko-kurikulum - kedua-duanya di bawah bidang kuasa JPN," kata Mohd Kamal yang berpengalaman sebagai kontraktor am selama 10 tahun.

Katanya lagi, seseorang kontraktor itu juga perlu membuat ujian tanah di kawasan terbabit serta ujikaji makmal.

Ahli perniagaan itu juga menjelasnya, khidmat ini disediakan oleh jabatan kerja raya dan juga oleh makmal-makmal swasta.

"Daripada ujian makmal ke atas tanah itu, barulah kita dapat tahu bentuk tanah di situ dan apa bahan yang perlu digunakan serta rekabentuk yang sesuai," kata Mohd Kamal lagi.


Setelah pembinaan selesai, tambahnya, JPN juga perlu mengeluarkan "surat boleh guna" untuk mengesahkan projek berkenaan selesai.

Menurut Mohd Kamal lagi, JKR tidak perlu menyelia projek berkenaan kerana JPN sendiri mempunyai unit teknikal untuk kerja-kerja kejuruteraan sivil seperti ini.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa beliau tidak terlibat langsung dalam pembinaan jambatan maut itu.

"Saya tidak kenal siapa yang bina. Ada yang kata dari Kuantan, dari Pahang, macam-macam...," katanya.


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengusulkan kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR supaya ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah melepaskan jawatan wakil rakyat kawasan tersebut.

Menurut kenyataan pejabat menteri besar hari ini, kerajaan Selangor prihatin terhadap aduan penduduk di Pelabuhan Klang mengenai ketidakupayaan Badrul Hisham menjalankan kewajipan beliau sebagai wakil rakyat.

"Sejak surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada beliau pada 20 Ogos 2009. Beliau tidak mengambil sebarang langkah untuk memperbaiki prestasi kerja beliau

"Dalam surat jawapannya. Badrul Hisham telah menyatakan kesudian untuk berjumpa dengan pimpinan negeri dan parti..

"Namun demikian beliau masih enggan berjumpa dengan pimpinan kerajaan negeri ataupun parti, menjawab panggilan telefon dan SMS, serta membuka semula Pusat Khidmat beliau untuk penduduk Pelabuhan Klang," kata kenyataan tersebut.

Berikutan itu, Khalid hari ini membuat satu usul kepada MPP PKR supaya Badrul Hisham meletakkan jawatan sebagai ADUN Pelabuhan Klang.

"Menteri besar juga akan menghantar satu delegasi untuk memaklumkan pendirian tersebut kepadanya dalam masa terdekat.

"Kerajaan Negeri tidak akan bertolak ansur dengan pemimpin yang tidak bertanggungjawab kerana mereka ini hanya akan menggagalkan usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan taraf ekonomi dan sosial rakyat," kata kenyataan itu lagi.







Jambatan gantung yang runtuh sehingga mengakibatkan seorang murid sekolah meninggal dunia dan dua lagi hilang dalam tragedi kelmarin dibina tanpa mendapat kelulusan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Pengarah JKR Perak Datuk Dr Safry Kamal Ahmad memberitahu Malaysiakini hari ini, pihaknya juga tidak mengetahui kontraktor yang terlibat dengan pembinaan jambatan tersebut.

"Anggaran kos juga kita tidak boleh cakap kerana tidak ada penilaian kos yang dibuat," katanya ketika dihubungi petang ini.

Jelasnya, beliau juga tidak dapat memberi butiran berkenaan kerana maklumat tersebut tidak disampaikan kepadanya dari pihak pentadbiran SK Kuala Dipang, lokasi jambatan maut itu.

Pelan pembinaan jambatan yang dibina merentasi sebuah sungai berhampiran sekolah itu di Kampar sepatutnya dirujuk kepada JKR terlebih dahulu sebelum diluluskan, tambahnya.

"Kalau ikut amalan biasa, kena rujuk kepada JKR terlebih dahulu," kata Dr Safry.

Jelasnya lagi, JKR seharusnya dirujuk memandangkan jambatan itu dibina dalam sebahagian kawasan sekolah.

"Kawasan tapak perkhemahan di seberang sungai itu juga termasuk dalam kawasan sekolah," katanya, sambil menambah struktur itu dibina tanpa merujuk sebarang agensi teknikal.

Jambatan baru sepanjang beberapa puluh meter di belakang kawasan sekolah itu siap dibina kira-kira dua minggu lalu untuk menghubung sekolah dengan tapak perkhemahan.


Sewaktu kejadian pada 10.30 malam Isnin lalu, 22 murid sekolah rendah yang menyertai program perkhemahan 1Malaysia tetapi 19 lagi dapat diselamatkan.

Dr Safry, yang bakal menganggotai jawatankuasa khas untuk menyiasat kejadian berkenaan seperti diumumkan timbalan perdana menteri semalam, juga berkata:

"Setakat ini kita cuma dapat tahu tiangnya tercabut bersama dengan sangganya, sebab-sebab lain kita belum dapat pastikan lagi.

"Kita akan tengok aspek-aspek teknikal, butir-butir terperinci dalam pembinaannya serta integriti strukturnya."

Isu majlis tani kecohkan Parlimen


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar hari ini secara sinis menyelar anggota parlimen pembangkang yang tidak puas hati kerana diketepikan daripada menganggotai Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) yang ditubuhkan bawah kementerian itu.

Isu itu menyebabkan suasana persidangan Dewan Rakyat pagi ini agak kecoh apabila beberapa anggota parlimen pembangkang tidak puas hati dengan jawapan Noh yang menjelaskan bahawa hanya anggota parlimen Barisan Nasional (BN) akan dilantik untuk menerajui majlis itu.

"Pembangkang kena faham sebagai menteri yang melantik pengerusi MPPP, pastilah saya akan pilih dari kalangan anggota BN kerana mereka mempunyai dasar dan polisi yang sama seperti kerajaan.

"Kita hendak pastikan duit yang hendak disampaikan kepada rakyat (petani) sampai, pastilah kita akan gunakan jentera kita sendiri... kalau kita lantik (wakil rakyat) pembangkang mungkin dia akan kata duit itu daripada pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) yang bertanya fungsi sebenar MPPP dan mempersoalkan mengapa anggota parlimen pembangkang diketepikan daripada menjadi anggota majlis berkenaan.

MPPP ditubuhkan di semua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara untuk mengukuhkan pelaksanaan pembangunan industri pertanian negara sehingga ke peringkat akar umbi.

MPPP akan diterajui sama ada oleh anggota parlimen, ADUN atau ketua parti komponen BN bagi kawasan parlimen pembangkang.

Ia antara lain bertanggungjawab dalam merancang, menyelaras dan memantau program serta projek pertanian di setiap kawasan parlimen.

Tidak puas hati dengan jawapan Noh, Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) bangun untuk mencelah tetapi dibantah Noh yang menegaskan bahawa apa yang penting bagi kementerian ialah untuk memastikan keperluan rakyat terbela.

Turut memanaskan keadaan ialah Datuk Mohamad Abdul Aziz (BN-Sri Gading) yang mencelah dan menyifatkan tindakan sama akan diambil oleh pembangkang sekiranya mereka berkuasa.

Cubaan-cubaan anggota parlimen pembangkang untuk mempertikaikan perkara itu dimatikan Noh yang mencadangkan supaya pembangkang yang menguasai beberapa negeri dan mempunyai peruntukan sendiri boleh menggunakan peruntukannya untuk membangunkan sektor pertanian di negeri masing-masing dan tidak terlalu mengharapkan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan. BERNAMA

Debat Anwar-Shabery tidak kecoh

Debat isu minyak antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menteri penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek minggu depan tidak akan menimbulkan sebarang kekecohan, kata bekas pemimpin kanan PKR Mohamad Ezam Mohd Nor.Kekecohan akibat penonton hilang kawalan dalam perhimpunan menentang kenaikan harga minyak Ahad lalu anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) tidak harus menjadi halangan kerana insiden itu hanya kes terpencil, tambah Mohamad Ezam."Insiden itu adalah kes terpencil. Ia tidak semestinya menjadi masalah kepada perhimpunan aman yang lain. "Perhimpunan aman adalah hak asasi dan insiden itu tidak harus menjadi sebab menghalang program-program lain," katanya kepada Malaysiakini.Debat itu, menurutnya lagi, boleh memberi kebaikan kepada semua pihak."Debat itu akan membawa kebaikan kepada proses bersuara dan demokrasi. Ia akan memberi kebaikan kepada kedua-dua belah pihak. Dalam politik, perkara itu harus dialu-alukan," katanya.Beliau, yang sedang berada di luar negara, enggan mengulas lanjut selagi ia belum mengetahu format perdebatan tersebut.Di perhimpunan Protes yang sama, Anwar mengumumkan kesediaan berdebat dengan Ahmad Shabery pada 15 Julai ini di Dewan Bahasa dan Pustaka berhubung isu harga minyak.Bagaimanapun, katanya, lebih baik debat itu dengan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau timbalannya Datuk Seri Najib Razak. Anwar berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat barisan pemimpin atasan Pakatan Rakyat minggu lepas."Perkara tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat pimpinan Pakatan - PAS, DAP dan PKR di rumah saya minggu lalu. Saya telah meminta Saifuddin Nasution merundingkan prosedur debat," kata penasihat PKR dalam blognya.



Recommended Money Makers

  • Chitika eMiniMalls
  • WidgetBucks
  • Text Link Ads
  • AuctionAds
  • Amazon Associates