Debat isu minyak antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menteri penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek minggu depan tidak akan menimbulkan sebarang kekecohan, kata bekas pemimpin kanan PKR Mohamad Ezam Mohd Nor.Kekecohan akibat penonton hilang kawalan dalam perhimpunan menentang kenaikan harga minyak Ahad lalu anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) tidak harus menjadi halangan kerana insiden itu hanya kes terpencil, tambah Mohamad Ezam."Insiden itu adalah kes terpencil. Ia tidak semestinya menjadi masalah kepada perhimpunan aman yang lain. "Perhimpunan aman adalah hak asasi dan insiden itu tidak harus menjadi sebab menghalang program-program lain," katanya kepada Malaysiakini.Debat itu, menurutnya lagi, boleh memberi kebaikan kepada semua pihak."Debat itu akan membawa kebaikan kepada proses bersuara dan demokrasi. Ia akan memberi kebaikan kepada kedua-dua belah pihak. Dalam politik, perkara itu harus dialu-alukan," katanya.Beliau, yang sedang berada di luar negara, enggan mengulas lanjut selagi ia belum mengetahu format perdebatan tersebut.Di perhimpunan Protes yang sama, Anwar mengumumkan kesediaan berdebat dengan Ahmad Shabery pada 15 Julai ini di Dewan Bahasa dan Pustaka berhubung isu harga minyak.Bagaimanapun, katanya, lebih baik debat itu dengan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau timbalannya Datuk Seri Najib Razak. Anwar berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat barisan pemimpin atasan Pakatan Rakyat minggu lepas."Perkara tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat pimpinan Pakatan - PAS, DAP dan PKR di rumah saya minggu lalu. Saya telah meminta Saifuddin Nasution merundingkan prosedur debat," kata penasihat PKR dalam blognya.
0 comments
Post a Comment